World Cup 2010 - Spain or Netherland?

11 July 2010


JOHANNESBURG - Kelibat perancang Belanda, Wesley Sneijder dan penyerang Sepanyol, David Villa bakal mencuri tumpuan pada aksi final Piala Dunia 2010 di Stadium Soccer City awal pagi esok.

Bagi kedua-dua pemain tersebut, matlamat mereka hanya satu iaitu membantu pasukan masing-masing mencipta sejarah muncul selaku pasukan Eropah pertama yang menjuarai kempen Piala Dunia di luar dari benua tersebut.

Namun gelaran anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak tetap menjadi idaman mereka.

Setakat ini, Sneijder dan Villa berkongsi lima gol selepas mereka mempamerkan sentuhan penyudah berbisa bagi membantu pasukan masing-masing mara sehingga ke pentas final pada kempen yang julung kalinya dilangsungkan di benua Afrika.

Perhitungan pada aksi final itu nanti bukan sahaja bagi mencari juara Piala Dunia edisi ke-19 di Afrika Selatan, malah gelaran penjaring terbanyak juga menjadi buruan dua pemain tersebut.

Bagi Villa, ini merupakan detik penuh bermakna buat dirinya selepas kejayaan membantu skuad La Roja mara ke final Piala Dunia dan ia mungkin lebih manis sekiranya dinobatkan selaku penjaring terbanyak sepanjang kempen kali ini.

"Saya kini berasa sangat gembira selepas mengharungi situasi yang penuh menakjubkan sepanjang karier saya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Namun saya sentiasa mengharapkan bahawa saya mampu membawa Sepanyol muncul juara Piala Dunia kali ini," jelas Villa.
Sneijder pula menganggap, kejayaan Belanda muncul juara Piala Dunia lebih bermakna berbanding dia dinobatkan selaku penjaring terbanyak.

"Tidak kira siapa yang menjaringkan gol, apa yang lebih penting kami mencipta kemenangan seterusnya menjuarai Piala Dunia di Afrika Selatan.

"Jika saya dapat menjaringkan gol pada aksi final nanti, ia sudah dianggap satu bonus," katanya. - Agensi

Sumber - Kosmo